Ingat tak lagu tersebut?
Ya! Senikata
lagu itu memang mudah di hafal. Bagi kita, ada nostalgia yang indah , kerana
lagu tersebut sering kita dendangkan sewaktu di alam persekolahan dahulu.
Marilah kita hayati maksudnya. Marilah kita membaca yang tersirat daripada
tutur mudah senikatanya.
Sungguh!
Perjalanan hidup ini tidak ditabur dengan bunga yang indah. Langkahan kita
tidak dibentang permaidani merah bergemintang kesenangan. Laluan hidup ini
penuh dengan duri dan onak. Kembara kita di dunia ini telah laluan yang
berliku. Ranjau sepanjang jalan!
Manusia yang
akan ‘naik ke atas’ adalah mereka yang perkasa jiwanya. Manusia yang cemerlang
bukanlah mereka yang tidak dibakar derita di dalam hidup, tetapi kecemerlangan
itu adalah milik mereka yang berjaya menongkah segalanya dengan kesabaran dan
ketabahan.
Setiap ujian memang pahit untuk ditelan. Setiap bencana memang berat untuk
ditanggung. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Namun, sifir
hidup ini memang begitu ketentuannya. Untuk menyubur tanaman di kebun jangan
dibaja dengan air gula. Najis yang busuk adalah baja yang terbaik buat tanaman
mekar menyegar.
Allah dalam
ketentuannya juga telah menjadualkan begitu. Para kekasihNya yang terdiri
daripada para rasul adalah cerminan yang terbaik untuk dicontohi. Para rasul
Ulul Azmi adalah mereka yang teratas dalam ranking seluruh anbia dan rasul.
Rasulullah
Yang Paling Diuji
Kenapa mereka
berada pada kedudukan yang paling tinggi? Kerana merekalah yang paling di’enjit-enjit’
bagi melayakkan mereka untuk berada di atas. Sesungguhnya merekalah yang paling
dasyat menerima ujian, paling sengsara dibadai musibah, paling teruk dibantai
tentangan.
Marilah
kita menyingkap tabir kehidupan Rasulullah saw. Susurilah laluan perjalanan
nafas Baginda, nescaya akan ditemui liku-liku yang teramat dasyat yang telah
Baginda ditempuhi. Bukankah Baginda telah merasai seluruh situasi ini?
1) Kematian bapanya sewaktu Baginda dalam kandungan ibu untuk melayakkan
Baginda digelar anak yatim.
2) Kematian ibu dan datuk, sewaktu Baginda masih merah di usia
kanak-kanak.
3) Kematian bapa saudara dan isterinya,Sayidina Khadijah dalam
tempoh masa yang terdekat.
4) Kematian anaknya Ibrahim, dalam usia kecil yang mengundang
kesedihan dan air mata.
5) Baginda diejek, difitnah dan digelarkan dengan
panggila-panggilan yang penuh penghinaan oleh musuh-musuh yang sentiasa
menentangnya.
6) Baginda dan para sahabat menghadapi kesengsaraanyang paling
dasyat akibat pembantaian dan penyeksaan oleh golongan Musyrikin di Kota
Mekkah.
7) Baginda dihalau dengan penuh kehinaan, dibaling dengan kayu dan
najis dalam kisah sedih yang terakam di kota Taif.
8)
Baginda telah direncana untuk dibunuh seperti yang tercatat
dalam peristiwa hijrah.
9) Baginda juga menghadapi peperangan demi peperangan yang sangat
menguji seperti perang Badar, Uhud dan Khandaq.
10)
Baginda pernah diuji dengan pembelotan kaum yahudi di kota
Madinah yang membawa ancaman yang sanat dasyat kepada kaum muslimin.
11) Baginda pernah diracun oleh orang yahudi dalam usaha mereka
untuk membunuhnya.
12) Baginda juga diuji dengan ujian rumahtangga sewaktu fitnah yang
dihadapi oleh Sayidatina Aisyah akibat perbuatan kaum munafiq di Kota Madinah.
Demikian
antara catatan-catatan ujian dan mehnah yang tersangat hebat ditempuhi oleh
Baginda. Segalanya menjadi cerminan dan teladan buat kita untuk belajar erti
sabar dan tabah.
Lantas,
saat diuji dalam hidup, sewaktu kita ditimpa musibah kesakitan, berdendanglah
dengan riang. Berlagulah dengan gembira. Bersama jiwa yang ditunjangi keimanan,
nyanyikanlah buat hiburan pada hati dan rasa; “Enjit-enjit semut, siapa sakit
naik atas…”
(dipetik
dari karya Allahyarham Ustaz Rujhan, majalah Anis,2012)
Moral of
the story, buat diriku dan sahabat sekalian,
‘Besarkanlah jiwamu, nescaya ia akan mengecillah masalahmu’
insyaAllah~
insyaAllah~
No comments:
Post a Comment